2.0 CIRI-CIRI KEUSAHAWANAN: 2.3 TAJAM DAYA PEMERHATIAN


Mengikut laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu, “Daya Pemerhatian” merujuk kepada perbuatan memerhatikan atau mengamati sesuatu.

         “Tajam Daya Pemerhatian” pula merujuk kepada kemampuan untuk memberi perhatian dengan teliti dan terperinci serta peka dan cakna terhadap sesuatu situasi.
Ketajaman daya pemerhatian amat penting bagi seseorang usahawan (Boitnott, 2014). Seseorang usahawan sentiasa dahagakan kepada sesuatu ide yang segar dan serba baru untuk memajukan perniagaannya. Ide-ide yang hebat dapat dihasilkan sekiranya seseorang usahawan itu mengambil peduli dan memberi perhatian terhadap situasi dan isu yang berlaku di sekeliling mereka juga dengan apa yang berlaku di seluruh dunia (Strock, 2015).

Untuk mewujudkan sebuah perniagaan yang berjaya, usahawan perlu memerhatikan dan menganalisis trend-trend terkini dengan mengetahui perkembangan dunia semasa. Usahawan juga perlu bijak dalam mengenal pasti persekitaran-persekitaran dan faktor-faktor yang boleh mempengaruhi sesebuah perniagaan itu (Speader, 2007).

Usahawan yang cemerlang ialah seseorang yang ‘berfikir di luar kotak’. Ini dapat dicapai apabila fikiran dan minda mereka dapat bekerja dengan lebih pantas dan cekap berbanding orang lain. Mereka bijak dan tidak teragak-agak dalam mengambil peluang-peluang keemasan dan mereka berupaya untuk mengenal pasti potensi-potensi dan kemungkinan-kemungkinan yang tidak dapat dilihat oleh orang lain (Dyer et al, 2012). Mereka mengenal pasti keperluan dan kehendak pengguna dalam pasaran yang masih belum dipenuhi atau yang masih belum diteroka. Lantas, mereka akan menganalisis, merumus dan mengambil tindakan terhadap peluang-peluang tersebut (Friel, 2014).




Steven Paul Jobs (24 Februari 1955 – 5 Oktober 2011) atau lebih dikenali sebagai Steve Jobs merupakan seorang tokoh usahawan berbangsa Amerika Syarikat yang merupakan pengasas, pengerusi dan bekas ketua pegawai eksekutif Apple Inc. Beliau dikenali sepanjang zaman sebagai individu yang merevolusikan dunia teknologi dan pengkomputeran. Sepanjang hidupnya, beliau dan syarikatnya telah menginovasi produk-produk yang sedia ada di pasaran kepada sesuatu yang baharu dan lebih baik (Isaacson, 2011).
Di samping perwatakannya sedikit aneh dan berbeza dengan orang lain serta bersifat egoistik, Steve Jobs merupakan seorang pemerhati yang luar biasa.

Beliau sering turun ke makmal untuk meneliti dan meneroka setiap genap inci produk yang dihasilkan oleh pereka-pereka dan jurutera-juruteranya.




Beliau sedar tentang kuasa dari sesebuah pemerhatian yang menggunakan seluruh deria tubuh badan. Baginya, melihat dengan mata sama penting dengan menyentuh, merasa dan menghidu.

Tambahnya lagi, penggunaan ruang dan jarak sama penting seperti penampilan luaran. Bagi beliau, nilai estetika amat penting kerana beliau juga seorang pelanggan, beliau juga suka membeli belah dan beliau mahu ia menjadi satu pengalaman yang menyeronokkan.

Sebelum membangunkan model untuk kedai jualan produk syarikatnya, Steve Jobs memerhatikan gelagat orang ramai ketika mereka membeli belah. Beliau kemudian merumuskan kesilapan-kesilapan yang sering dilakukan oleh penjual dan peruncit terhadap pelanggan ketika melakukan urusan jual beli telefon bimbit (dan peranti-peranti lain yang berkaitan).

Sebelum Steve Jobs memperkenalkan kedai jualan produk syarikatnya yang dikenali sebagai “Apple Store” itu, kebanyakan kedai yang menjual telefon bimbit hanya meletakkan produk mereka di sebalik kaunter berkaca untuk tatapan sahaja dan tidak dapat disentuh.




Beliau sedar bahawa manusia suka berinteraksi dengan teknologi. Beliau memahami bagaimana perasaan apabila dapat memegang sesebuah produk itu di tangan sendiri dan tiada halangan untuk merasakan sensasi itu melalui penglihatan dan juga melalui pancaindera yang lain. Sebagaimana beliau menyentuh dan berinteraksi dengan produknya di dalam makmal, seperti itu jugalah dia mahu orang lain mengalaminya (Navarro, 2013).

Pada hari ini, Apple Store mempunyai pulangan atas pelaburan yang lebih tinggi dari mana-mana kedai lain di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia (Navarro, 2008).

Pendekatan Steve Jobs dalam memerhatikan dunia sama seperti tokoh-tokoh terulung dunia yang lain seperti Leonardo DaVinci, Benjamin Franklin dan Thomas Edison, iaitu memiliki sifat ingin tahu yang sangat tinggi serta tumpuan terhadap perincian. Mereka-mereka ini berbeza dengan kebanyakan orang lain yang hanya melihat dengan mata kasar, tetapi tidak dengan mata hati (Isaacson, 2003).

Mereka yang tajam daya pemerhatian mempunyai kapasiti untuk mendapat pencapaian yang lebih tinggi, menjiwai dengan lebih mendalam, bertindak dengan lebih cepat dan pantas dalam berinovasi. Itulah yang menjadikan seseorang itu luar biasa – kuasa untuk memerhati (Navarro, 2010).







RUJUKAN:
Pemerhatian. (n.d.). Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Diakses daripada   http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=pemerhatian

Boitnott, John (2014). The Most Successful Entrepreneurs Have These 5 Traits In Common. Diakses pada November 9, daripada http://www.inc.com/john-boitnott/the-most-successful-entrepreneurs-have-these-5-traits-in-common.html

Strock, James (2015). Entrepreneurs And Leaders. Diakses pada  November 9, daripada http://servetolead.org/entrepreneurs-and-leaders/

Speader, Karen E (2007, Februari). Spot the Latest Trends. Startups, 27-28.

Dyer, Jeff dan Gregerson, Hal (2012). Are You An Innovative Entrepreneur? Diakses pada November 10, daripada http://www.forbes.com/sites/innovatorsdna/2012/06/04/are-you-an-innovative-entrepreneur/

Friel, David (2014). Define Entrepreneur. Diakses pada November 10, daripada http://entrepreneurhandbook.co.uk/define-entrepreneur/

Isaacson, Walter. (2011). Steve Jobs. New York: Little, Brown.
Navarro, John (2013).  How You See The World Makes All The Difference. Diakses pada November 10, daripada https://www.psychologytoday.com/blog/spycatcher/201309/how-you-see-the-world-makes-all-the-difference

Navarro, Joe. (2008). What Every Body Is Saying. New York: Harper Collins.
Isaacson, Walter. (2003). Benjamin Franklin: An American Life. New York:                         Simon & Schuster Paperbacks.

Navarro, Joe. (2010). Louder Than Words. New York: Harper Collins.


Share on Google Plus

Perihal Unknown

Just a humble guy :D

0 comments :

Catat Ulasan